Sabtu, 3 Mei 2014

TEMBIKAI – penghilang dahaga ketika musim panas

TEMBIKAI

TEMBIKAI – penghilang dahaga ketika musim panas


Tembikai yang nama botaninya Citrullus Lanatus atau dikenali juga dengan nama Semangka serta Timun Cina bagi penduduk di sebelah Pantai Timur, merupakan pokok menjalar (memanjat dan melata) yang dipercayai berasal dari selatan Afrika dalam famili Cucurbitaceae. Buah tembikai atau dalam bahasa inggeris disebut watermelon mempunyai kulit yang licin dan isi (selalunya merah) yang berair dan manis. Nama Citrillus vulgaris juga kadangkala digunakan untuk merujuk kepada buah ini (vulgaris bermakna biasa).

Penanaman tembikai di Malaysia bermula di negeri Kelantan dalam tahun 40-an, walau bagaimana pun ianya mula berkembang sekitar tahun 70-an selepas pengenalan jenis kacukan daripada Taiwan dan Jepun. Selain Kelantan, kini penanamannya banyak bertumpu di negeri Johor, Kedah dan Perak.

Penghasilan tembikai di negara ini adalah untuk dimakan segar, namun ianya juga boleh diproses untuk dijadikan minuman manakala ada varieti yang boleh diproses untuk menghasilkan biji kuaci iaitu sejenis makanan ringan yang kaya dengan karbohidrat dan lemak.

Tembikai adalah sejenis tanaman menjalar yang mempunyai batang herba dan tendiri bercabang, pengakarannya cetek (40 – 50 cm) dan meluas (60 – 90cm). batangnya berbulu, bulat dan bersegi. Buah tembikai berbentuk bulat, bujur bulat atau bujur. Warna kulitnya berbeza dari hijau muda hingga kehijauan dua serat atau berbelang. Isinya berwarna kuning atau merah berbiji putih/hitam, bagaimana pun ada juga varieti yang tidak berbiji atau biji didapati terbuang di dalam buah.

Tanaman tembikai memerlukan cuaca panas iaitu sekitar suhu 25 – 35ºC di siang hari dan 18 - 22ºC pada waktu malam untuk pertumbuhan dan penghasilan yang baik. Walau bagaimana pun diperingkat pertumbuhan, tanaman ini memerlukan hujan minimum sebanyak 380mm. Tanaman tembikai boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah terutama tanah gembur berpasir dan tidak menakung air yang mempunyai keasidan yang sederhana antara pH 4.5 – 7.0.

Antara varieti yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian kerana potensi pengeluaran, mutu buah serta dari segi rasa, kandungan gula, jangka masa dan ketahanan terhadap penyakit adalah seperti New Dragon, Super Dragon dan Flower Dragon. Manakala kultivar tanpa biji terdiri daripada kacukan hybrid F1 dari Taiwan dan Jepun.

Lazimnya tembikai mesti dituai setelah buah cukup masak untuk menjamin kandungan gula yang tinggi dan kemanisan yang memuaskan. Tembikai mencapai peringkat matang dalam tempoh yang berbeza bergantung kepada varieti yang ditanam. Biasanya buah tembikai sedia untuk dituai antara 60 – 75 hari selepas diubah ke ladang. Anggaran hasil sehektar adalah antara 10 – 30 metrik tan.

Buah tembikai mengandungi lebih dari 90% air. Buahnya juga mengandungi vitamin C, kalsium, fosforus, natrium, kalium dan dikatakan berkesan mengubati masalah ginjal dan salur kencing. Ia mengandungi sejenis gula dan garam yang berkesan melawaskan buang air kecil dan merawat masalah ginjal.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan