Sabtu, 3 Mei 2014

TEKNOLOGI PENANAMAN SECARA FERTIGASI

Fertigasi berasal dari perkataan fertigation iaitu fertilizer & irrigation. Fertigasi dapat ditakrifkan sebagai satu kaedah penanaman di mana baja (dalam bentuk larutan/nutrient) diagihkan kepada zon akar tanaman melalui sistem pengairan. Umumnya beberapa jenis sayur-sayuran dari jenis buah sahaja yang sesuai ditanam menggunakan sistem ini seperti cili merah, timun, tomato, terung, capsicum, strawberi dan melon.

Penanaman secara fertigasi bertujuan mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar bawaan tanah. Penggunaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) adalah digalakkan dalam penanaman secara fertigasi, walaubagaimana pun amalan penanaman tanpa SPH masih boleh dijalankan. Fertigasi tanpa SPH akan menyebabkan pengurusan air yang tidak terkawal akibat hujan. Percikan hujan juga akan menyebabkan jangkitan penyakit daun dan buah merebak dengan mudah.

Polibeg putih adalah disyorkan kerana ia dapat mengurangkan kadar penyerapan haba dan mengelakkan kejadian pengumpulan akar padat di bahagian tepi. Lain-lain bekas seperti polibeg hitam, pasu plastic dan pasu tanah boleh juga digunakan. Setiap jenis mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Bekas tanaman hendaklah boleh memuatkan sekurang-kurang 10 – 12 liter.

Media terbaik yang disyorkan untuk diisi ke dalam bekas tanaman adalah coconut coir dust atau coco peat. Penggunaan coco peat adalah murah dan mudah dibeli jika dibandingkan dengan penggunaan media komersil seperti perlite atau vermiculite.

Pembekalan larutan baja dilakukan mengikut masa yang ditetapkan dengan bantuan alat pengatur masa. Kekerapan dan tempoh masa setiap penitisan bergantung kepada jenis tanaman dan peringkat umur tanaman.

Untuk mendapatkan pengeluaran konsisten dengan kualiti hasil yang tinggi pada tahap optima serta menguntungkan dalam penanaman secara fertigasi, beberapa aspek perlu diberi tumpuan. Diantaranya adalah penyediaan media, semaian, menggubah ke ladang, kawalan perosak dan penyakit, kawalan terhadap sistem pengairan dan saliran, kebersihan ladang, diagnosis masalah tanaman, pensterilan, pengagihan nutrient serta perkara berkaitan fisiologi tanaman.

Antara keperluan asas untuk menjalankan kaedah penanaman fertigasi ialah:
1. Sumber air bersih
2. Sistem pengairan
3. Rumah semaian
4. Baja (nutrient)
5. Media tanaman
6. Bekas tanaman di ladang dan semaian (polibeg dan dulang semaian)
7. Biji benih terpilih
8. Struktur Pelindung Hujan (SPH)
9. Alat pengukur pH dan EC meter

Teknologi penanaman tanaman terpilih menggunakan kaedah fertigasi menjanjikan pulangan modal pelaburan sekiranya dilaksanakan dengan betul dalam masa yang singkat.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan