Sabtu, 3 Mei 2014

Jom tanam cendawan

Cendawan adalah sejenis kulat yang turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Sesetengah cendawan atau dikenali dengan sebutan mushroom dalam bahasa Inggeris tumbuh meliar manakala sesetengah lagi ditanam oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan. Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan barah. Tetapi awas, terdapat juga cendawan yang beracun.

Cendawan segar telah lama dijadikan bahan makanan yang boleh menambahkan rasa masakan. Secara amnya ia mengandungi kandungan protin yang tinggi berbanding sayuran hijau lain. Ia juga mengandungi karbohidrat, serat dan vitamin yang tinggi serta kandungan lemak yang rendah.

Cendawan juga boleh ditanam menggunakan media penanaman seperti bahan-bahan sisa buangan pertanian seperti habuk kayu getah, jerami padi dan hampas kapas. Terdapat pelbagai jenis cendawan yang boleh ditanam di Malaysia antaranya cendawan Telinga kera atau Jeli hitam, Cendawan kukur, Shitake, Jarum emas, Cendawan butang, Ling zhi, Cendawan Bunga kobis dan Cendawan tiram (Pleurotus sp).

Penanaman cendawan tiram bergantung kepada beberapa faktor persekitaran yang penting seperti jenis substrate, suhu, kelembapan, cahaya dan pengudaraan. Pencapaian yang baik dalam bidang perusahaan ini bergantung kepada amalan pengusaha.

Antara keperluan yang perlu dalam penanaman cendawan adalah seperti
1. Pembinaan rumah cendawan
2. Penyediaan beg media cendawan
3. Pengukusan beg media cendawan
4. Pemilihan benih cendawan
5. Penyuntikan benih
6. Penjagaan beg dan keadaan rumah cendawan yang sesuai
untuk pertumbuhan cendawan yang baik
7. Memunggut hasil
8. Pengawalan perosak dan penyakit

Bagi cendawan tiram, hasil boleh dikutip di antara 50 - 60 hari selepas penyuntikkan benih, dan 10 – 14 hari berikutnya selepas beg direhatkan. Sekali kutipan hasil boleh mencapai jumlah sebanyak 60 – 80 gm/beg dan satu beg media cendawan boleh memberikan 5 – 6 kali kutipan hasil untuk selama 3 – 4 bulan.

Anggaran hasil pulangan untuk bangsal cendawan yang berukuran 4.5m X 4.5m dan mengandungi 4 rak kayu serta boleh memuatkan 2,000 beg boleh menghasilkan 120 kilogram untuk sekali kutipan. Sebanyak 5 kali kutipan hasil boleh dilakukan dalam tempoh 3 bulan dengan harga ladang sekitar RM 6.00 hingga 7.00/kg.

Terdapat tiga jenis cendawan tiram yang biasa ditanam dikawasan tanah rendah seperti Tiram Kelabu (Pleurotus sajor-caju), Tiram Putih (Pleurotus florida) dan Tiran Abalon (Pleurotus cystidiousus). Khasiat pemakanan cendawan tiram kelabu bagi setiap 100gm berat basah adalah tenaga 37kcal, air 89.2gm, protin 3.6gm, lemak 0.7gm, karbohidrat 4.1gm, serat 1.8gm, kalsium 2mg, fosforus 88mg serta vitamin B1, B2 dan C.








































Tiada ulasan:

Catat Ulasan