Sabtu, 3 Mei 2014

POKOK KOTE MAMAK

Kote Mamak atau nama saintifiknya Cassia grandis merupakan salah satu daripada beberapa spesis dari keluarga Fabaceae. Juga dikenali sebagai Pink Shower Tree atau Carao bagi orang Sepanyol dikatakan berasal dari Mexico, Venezuela, Surinam, Brazil dan Ecuador yang boleh tumbuh hingga ketinggian 30 meter.

Tumbuhan ini banyak terdapat di pinggir hutan Malaysia namun kini ianya ditanam sebagai tanaman hiasan dan landskap kerana sifatnya yang agak besar rendang dengan kanopi berbentuk payung. Daun pokok kote mamak berbentuk pinat dan luruh dengan 10 – 20 berpasangan sebesar 3 – 5 cm. Ketika musim kering, daun-daun tua memberi laluan kepada bunga yang berwarna merah jambu.

Buah kote mamak terbentuk daripada pistil bunga selepas kembang yang bermula dari juntaian halus seperti tali berwarna hijau di bawah dedaun. Apabila matang buah akan menjadi coklat dan mengering seperti kayu. Buah berbentuk silinder panjang dan di dalamnya terdapat biji-biji leper yang dipisahkan oleh petak serta mengeluarkan bau yang kurang enak dan buahnya boleh mencapai sehingga 40 cm panjang.

Bagi sesetengah orang, bijinya boleh dimakan dan enak rasanya apa lagi jika dimakan bersama kelapa parut. Terdapat kandungan cecair pekat seperti madu yang rasanya manis maung (pungent honey-like) menyaluti bijinya yang bagi sesetengah orang mengambilnya untuk dicampur dengan susu untuk minuman.

Dari segi perubatan kote mamak dikatakan boleh membantu melegakan penyakit anemia serta menambah zat besi dalam darah. cecair antiseptik boleh diperolehi daripada akar dan daunnya manakala bunganya banyak digunakan dalam perubatan tradisional.

info jabatan pertanian malaysia.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan