Sabtu, 3 Mei 2014

INFO pisang

PISANG – bagaimana anda memakannya?


Pisang atau nama botaninya Musa spp. dari keluarga Musaceae mempunyai buah yang sedap dan lazat dimakan serta mudah ditanam. Pisang yang merupakan sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara kini telah dikomersilkan penanamannya.

Di Malaysia kultivar seperti pisang mas, pisang berangan, Cavendish dan rastali merupakan tanaman pisang yang ditanam untuk dimakan segar dan kini telah ditanam secara komersil untuk dieksport. Manakala kultivar pisang nangka, raja, lang, relong, tanduk, nipah dan pisang awak pula sesuai ditanam untuk dimasak atau diproses sebagai makanan ringan yang kini mempunyai nilai komersil untuk permintaan pasaran tempatan.

Secara amnya pisang masak boleh dimakan segar atau diproses menjadi berbagai-bagai produk seperti kerepek, hirisan dalam sirap atau buah koktel, pisang kering atau salai, makanan bayi, keropok, jem, jeli, serbuk, minuman dan juga cuka.

Pisang boleh ditanam di tanah yang berstruktur lempung berpasir dan keadaan tanah peroi dengan keadaan permukaan tanah yang rata hingga berombak dengan kecerunan kurang 12º serta penjagaan dan pengurusan yang baik. Tanaman ini tidak sesuai ditanam di tanah yang mempunyai halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah padat, lapisan batu, paras air tinggi, tanah gambut atau tanah berlapisan asid.

Tanaman pisang boleh ditanam sebagai tanaman tunggal yang diusahakan untuk pengeluaran komersil dan untuk mendapatkan bekalan yang berpanjangan terutama bagi kultivar Cavendish, berangan dan mas untuk pasaran eksport. Melalui kaedah lain, pisang ditanam sebagai tanaman selingan yang ditanam bersama tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum pengeluaran hasil dari tanaman utama.
Kawalan penyakit dan perosak hendaklah dijalankan di peringkat awal iaitu dari peringkat pokok pisang baru ditanam, matang dan akhirnya pada waktu penuaian hasil. Kebersihan ladang, cantasan daun berpenyakit dan tua, pembinaan saliran dan pembungkusan buah adalah aktiviti yang perlu dijalankan bagi mengurangkan kos kawalan penyakit dan perosak.

Penghasilan pisang bergantung kepada pemilihan kawasan, kultivar, pengurusan di ladang sehinggalah pembungkusan siap dibuat. Faktor cuaca yang sesuai dan tanah yang subur juga menyumbang kepada pengeluaran yang menguntungkan. Anggaran hasil juga bergantung kepada kultivar pisang yang terpilih. Sebagai contoh, hasil bagi pisang berangan boleh mencecah 102 m/ton bagi sehektar, pisang mas 61 m/ton/hektar dan Cavendish boleh mencecah 195 m/ton/hektar.

Menurut kajian tempatan yang dilakukan terhadap 100 gram pisang dapat menyediakan 1.2 gm protein, 0.3 gm lemak, 17 mg kalsium, 78 mg karotena, 88 mg kalium, 27.2 gm karbohidrat, 0.4 gm serabut, dan 116 kcal tenaga. Pisang juga mengandungi asid, enzim dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semulajadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Gula semulajadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

Selain itu, menurut Persatuan Pisang Antarabangsa pisang juga mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin dan folat. Penyelidikan yang dijalankan membuktikan dua biji pisang boleh membekalkan tenaga untuk kita melakukan kerja atau senaman berat selama 90 minit.

Bagi perubatan traditional, jantung pisang dikatakan elok untuk pelbagai organ dalam badan seperti jantung, hati, paru-paru dan limfa.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan