Selasa, 6 Mei 2014

BELIMBING – buah bintang

Belimbing atau belimbing besi atau nama sainsnya Averrhoa carambola merupakan tumbuhan yang dikatakan berasal dari Sri Lanka dan Kepulauan Maluku tetapi telah lama ditanam secara meluas dan popular di seluruh Asia Tenggara. Di Malaysia penanaman belimbing telah bermula sejak tahun 1960-an dan merupakan pengeksport utama dunia selain dari Brazil dan Israel.

Belimbing tergolong dalam family Oxalidacea bersaiz kecil dan boleh mencapai ketinggian antara 3 – 4 meter. Pokoknya berkanopi rimbun, berbentuk hampir bulat, berbatang pendek dan bercabang pada paras rendah serta mempunyai dahan yang melempai. Ciri utama buah belimbing apabila dipotong secara melintang menonjolkan bentuk bintang dan mungkin kerana itu ia disebut starfruit dalam bahasa Inggeris.

Pokok belimbing yang dibiakkan secara cantuman mula mengeluarkan bunga 9 bulan selepas ditanam. Lazimnya bunga yang keluar dari pokok yang kurang dari setahun perlu dibuang supaya pertumbuhan tampang tidak terganggu pada peringkat awal dan pendebungaan digalakkan pada tahun kedua.

Belimbing mengeluarkan hasil sepanjang tahun, tetapi terdapat dua musim utama iaitu bulan April – Jun dan Oktober – Disember. Penjarangan buah semasa membalut perlu dilakukan bagi meningkat mutu dan saiz buah. 60 – 70% buah yang terbentuk perlu dibalut dan hanya satu biji buah sahaja dibalut bagi setiap tangkai.

Buah matang boleh dipetik apabila warna buah bertukar dari hijau ke kuning hijau. Dalam keadaan cuaca yang baik serta penjagaan yang rapi, sebanyak 100 – 150 kilogram buah boleh dihasilkan bagi sepokok setahun. Pokok yang berumur 9 – 10 tahun merupakan peringkat paling produktif dan boleh mengeluarkan hasil melebihi 200 kg/pokok/tahun.

Terdapat 19 klon belimbing yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian namun begitu klon B10 dan B17 adalah klon yang banyak ditanam secara komersil. Bagi penghasilan yang baik, tanaman klon B10 dan B17 sebagai pokok utama perlu diselangkan dengan pokok klon B2 sebagai klon pendebunga. Bagaimanapun teknologi terkini membolehkan tanaman klon B2 dicantum terus ke atas setiap pokok Klon B10 dan B17 yang berumur lebih 5 – 8 tahun.

Belimbing boleh ditanam di pelbagai jenis tanah dengan kemasaman pH diantara 5.5 – 6.5. untuk menjamin pertumbuhan pokok yang sempurna. Tanah yang rata dan mempunyai sistem pengairan yang baik diperlukan dengan kedalaman tanah yang efektif (ruang akar) 75 cm atau lebih. Kawasan iklim tropika sangat sesuai untuk pertumbuhan tanaman belimbing dengan taburan hujan yang seragam untuk mendapatkan tumbesaran dan penghasilan yang maksimum.

Buah belimbing mempunyai kulit yang sangat lembut dan amat disukai oleh lalat buah (Bactocera carambolae) dan merupakan perosak utama yang sukar dikawal. Buah belimbing perlu dibalut bagi mengatasi masalah serangan lalat buah agar tidak dirosakkan dan boleh dijual untuk pasaran eksport atau pasaran tempatan. Namun pengawalan terbaik di ladang pada masa kini adalah berkonsep Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB) yang disyorkan seperti :

i. Kawalan kultura (sanitasi ladang)
ii. Pembungkusan buah
iii. Kawalan kimia
iv. Semburan umpan protein
v. Perangkap lalat jantan (methyl eugenol)

Kebiasaan buah belimbing dimakan segar, sebahagiannya diproses dan dijadikan pelbagai jenis produk seperti minuman segar serta cordial, jem, gula-gula buah, sos buah, buah kering, campuran hirisan buah di dalam sirap atau jus, halwa dan sebagainya. Buah yang muda boleh juga dijadikan jeruk. Bagi setiap 100 gm buah yang boleh dimakan, belimbing mengandungi 24.0 Kcal tenaga, 0.7 gm protein, 0.1 gm lemak, 1.8 gm serabut serta vitamin A, B1, B2 dan C.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan