Apa lagi yang lebih berharga daripada emas? Tidak lain dan tidak bukan ialah kesihatan tubuh badan. Apa guna wang, emas dan perak kalau badan sakit tak bermaya? Kesihatan tubuh berpunca daripada perut yang bersumberkan daripada makanan yang baik dan berkhasiat.
Saya bukan nak bercerita tentang kesihatan tetapi coretan kali ini diharap dapat merubah kehidupan anda pada masa hadapan. Cuba lihat ke dalam tong sampah atau yang tersangkut di atas singki dan cuba ingat apa yang anda buat dengan sisa-sisa makanan dan sisa-sisa buangan dapur! Berapa % kandungannya dalam tong sampah? Banyak bukan!!.
Lihat apa terjadi sekiranya tercicir, koyak, disepahkan binatang, lambat dikutip dan sebagainya. Pastinya mengundang lalat dan bau yang meloyakan. Tentunya persekitaran menjadi tidak harmoni dan merosakkan sosial dalam bermasyarakat.
Ramai yang tidak tahu sebenarnya sampah busuk ini boleh ditukar menjadi Emas Hitam yang amat bernilai. Bagaimana? Ia sangat mudah dan hanya bermodal kurang RM5.00 ringgit. Jadi selepas ini TOLONG jangan buang EMAS anda
Baiklah saya ajarkan cara paling MUDAH sebab kita semuakan rajin dan sibuk-sibuk belaka. Jangan marah ye... Saya janji! Ia cara paling mudah dan murah. Emas anda akan terhasil dalam masa 14-30 hari.
Bahan-bahan:
1. Tempe
2. Yis/Ibu roti
3. Gula Merah
4. Tanah atas(top soil)/Tanah hitam
5. Daun/rumput kering
6. Air
Ikut langkah-langkah di bawah:
1. Sediakan 2 beg plastik/tong/apa-apa bekas untuk tujuan pengasingan
A. 1 beg untuk sisa makanan, sisa dapur, kertas (kuah jangan masuk)
B. 1 beg lagi untuk sampah bentuk plastik, tulang, produk tenusu dan berminyak
2. Sediakan sebuah bekas air berkapasiti 5 liter. (ada paip seperti gambar)
3. Bekas air-masukan daun dan rumput kering sekadar menutupi dasar. Masukan tanah atas di sekitar rumah atau beli tanah hitam di nurseri tanaman dengan ketinggian 1 inci.
4. Sekarang masukkan semua kandungan beg nombor A iaitu sisa sisa makanan, sisa dapur, kertas. Lebih halus sisa makanan lebih cepat ia bertukar menjadi emas.
5. Kemudian masukkan tanah menutupi sampah tersebut. Taburkan segenggam GULA MERAH. Masukkan sesudu YIS atau ibu roti. Kemudian potong seinci TEMPE dan potong kecil berbentuk kiub. Tabur rata di atas tanah. Sembur/spray air di atas tanah sekadar unutk melembabkan tanah. Gaulkan sebati.
6. Tutup bekas air dengan plastik sampah warna hitam dan letak ditempat terlindung matahari.
Ulangi langkah 4-6 hingga bekas air penuh. Pastikan dalam bekas air sentiasa lembab. Anda akan terasa panas berbahang di atas dan sekeliling bekas air. Itu menandakan bakteria-bakteria baik sedang bertindak menukarkan sampah anda kepada EMAS.
Setelah bekas penuh tunggulah selama 14-30 hari sehingga kesemua telah bertukar sepenuhnya kepada EMAS. Di bahagian dasar akan kelihatan cecair. Buka paip dan simpan cecair dalam bekas bersih.
Apabila sampah telah bertukar menjadi seperti tanah hitam itu bermakna ia telah berhasil menjadi EMAS HITAM atau lebih dikenali sebagi KOMPOS. Jika saya nak bercerita tentang kompos tentunya lebih panjang dan berjela. Kenapa ia dianggap sebagai EMAS HITAM. Apakah KOMPOS dan kegunaanya? Tanya saja "Lebai Google".
EMAS HITAM ini sangat penting kepada tumbuhan, haiwan dan alam sekitarnya. Seterusnya memberi manfaat tak terhingga kepada manusia. Lihatlah daripada sampah yang kotor dan tidak menyihatkan menjadi sesuatu yang amat bernilai dan sangat menyihatkan.
Jadi sekarang anda dah tahu kepentingan sampah anda kan! Bermula hari ini mari kita sama lestarikan alam sekitar dan hati kita. Jom kita ubah cara hidup dan pemikiran kita. Sememangnya manusia selalu ingin senang dan tidak mahu sesuatu yang cerewet. Sebenarnya manusia sukar berubah bukan disebabkan masalah tangan atau kaki tapi adalah disebabkan masalah hati.
Benarlah firman Allah S.W.T:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Rum:41)
Jika baik silalah SHARE untuk kita perbaiki semula alam yang telah lama kita rosakkan. Adakah kita hanya akan berubah setelah ditimpakan bencana demi bencana olehNYA? -
info Jabatan Pertanian Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan