Isnin, 18 Februari 2013

TANAM POKOK BUAH DALAM PASU DAN CARA-CARA MENYEDIAKAN CAMPURAN TANAH


sumber dari 

..

Biasanya pokok buah-buahan ditanam di ladang.  Akibat kekurangan kawasan khususnya di perkarangan rumah, teknik menanam di dalam pasu yang mulanya sebagai hobi, kini dikomersilkan.  Antara tanaman yang sesuai ditanam dalam pasu atau bekas ialah belimbing besi, mangga, jambu air, rambutan, limau, kedondong, ciku dan mata kucing.

Pada umumnya, teknik ini digemari kerana;-

·         Boleh dijalankan di kawasan yang kecil terutama di sekitar rumah kediaman
·         Masalah serangan serangga dan penyakit lebih mudah dikawal
·         Masa berbuah dapat ditentukan dengan pemberian zat pemakanan yang sesuai dan tepat pada masa yang dikehendaki
·         Kedudukan tanaman boleh diubah ke tempat yang dikehendaki
·         Tiada pembaziran zat makanan tanaman

Faktor-faktor yang mempengaruhi hasil tanaman buah-buahan dalam pasu

1.    Agroiklim:

 Jenis tanaman yang dipilih hendaklah sesuai dengan agroiklim sesuatu tempat.  Ini merangkumi suhu, kelembapan udara, jumlah hujan, matahari dan topografi. 
2.    Bahan Tanaman:

 Bahan tanaman yang berasal daripada pembiakan tampang hendaklah dipilih kerana ia cepat mengeluarkan hasil.  Selain daripada itu ia hendaklah sihat, bebas dari penyakit dan perosak. 
3.    Bekas Tanaman:

 Ukuran dan bentuk bekas hendaklah sesuai dengan jenis tanaman bagi menjamin pertumbuhan yang baik dan cepat mengeluarkan hasil.  Sebagai contoh, anak benih setinggi 60-70 cm, sesuai ditanam dalam bekas berukuran 30 cm panjang, 30 cm tinggi dan 30 cm lebar.  Bekas-bekas seperti pasu tanah liat, pasu simen, plastik atau tong drum boleh digunakan.  Pasu-pasu ini mesti mempunyai lubang di bahagian dasarnya supaya ia tidak bertakung.  Penggantian kepada bekas yang lebih besar dibuat 2-3 tahun sekali selaras dengan pertumbuhan pokok. 
4.    Media Tanaman:

 Media tanaman yang sesuai ialah campuran tanah kebun, pasir, tahi lembu/ayam atau kompos.  Nisbahnya 1:1:1 atau 2:1:2.  Bahan-bahan lain yang diperlukan ialah NPK (15:15:15).

Penjagaan
Penjagaan tanaman bagi teknik dalam pasu adalah hampir sama dengan penjagaan tanaman di ladang.  Ini termasuklah:-

1.    Penyiraman:

 Dilakukan dua kali sehari (pagi dan petang).  Air perigi atau air mata air sangat sesuai digunakan. 

2.    Naungan:
 Anak benih hendaklah diberi naungan selama sebulan sebelum dipindahkan ke tempat terbuka.  Pada amnya sinaran matahari selama 5 jam sehari diperlukan. 

3.    Pangkasan:
 Pangkasan pembetukan dan penjagaan yang teratur dapat meninggikan kualiti dan kuantiti hasil.  Sebagai panduan tanaman yang mempunyai batang bergaris pusat 3-5 cm, perlu mempunyai 5-6 dahan/cabang sahaja. 

4.    Pembajaan
 Kedua-kedua jenis baja diperlukan iaitu baja organik dan bukan organik.  Di peringkat permulaan, baja NPK (15:15:15) diberi sebulan sekali manakala di peringkat berbunga dan berbuah baja NPK (15:19:10) diperlukan. 

5.    Kawalan perosak dan penyakit:

 Pelbagai kaedah kawalan boleh dijalankan bagi tanaman buah-buahan dalam pasu, antaranya ialah:-- menyembur dengan racun kimia yang sesuai.- menjaga kebersihan kawasan penanaman- menggunakan anak benih yang bebas dari serangan perosak dan penyakit- membuang buah (putik) yang berpenyakit atau rosak dengan tangan 

6.    Meransang pembungaan dan pengeluaran buah:

 Disamping penjarangan buah, terdapat kaedah-kaedah lain untuk mencepatkan pengeluaran hasil.  Antaranya ialah melentur dan melukakan dahan/cabang dan penggunaan penggalak tumbuhan yang terdapat di pasaran. 

7.    Memetik hasil:

 Waktu yang tepat untuk memetik hasil menentukan kualiti dan rasa buah.  Catatan masa dan tarikh tanaman mula berbunga sangat penting untuk dijadikan rujukan.

Antara aktiviti yang dijalankan secara rutin
1.    menyediakan campuran tanah
2.    pasu memasu
3.    menukar pasu
4.    pembiakan tumbuhan
5.    penyelenggaraan tanaman
6.    memangkas
7.    membaja
8.    menyiram
9.    merumput
10. mengawal penyakit dan musuh tanaman
11. menentukan cahaya
12. menentukan kelembapan suhu dan peredaran udara yang optima

Ciri-ciri campuran tanah yang baik untuk tanaman berpasu

Campuran tanah pasu yang baik boleh membantu pertumbuhan pokok hiasan dalam keadaan yang optima sekiranya mempunyai kriteria seperti berikut:-

1.    Fizikal atau tekstur tanah hendaklah berkeadaan peroi dan gembur supaya wujud pengudaraan yang baik, penjalaran akar yang sempurna dan penyerapan air yang tinggi. 
2.    Campuran tanah mestilah mengandungi unsur-unsur yang mencukupi dan seimbang pada semua peringkat tumbesaran dan perkembangan pokok. 
3.    Campuran tanah hendaklah bebas daripada bahan-bahan toksik, penyakit dan serangga perosak.
4.    Bahan-bahan utama untuk membuat campuran tanah hendaklah murah dan senang didapati. 
5.    Elakkan menggunakan najis haiwan supaya tidak mencemarkan udara persekitaran dengan bau yang busuk. 
6.    Setiap bahan mestilah seimbang mutunya dan mempunyai fungsi-fungsi tertentu.
7.    Kaedah yang digunakan untuk membuat tanah campuran hendaklah senang dan mudah.

Bahan-bahan utama dalam campuran tanah

Tanah peroi, bahan organik, pasir sungai dan baja asas.

Tanah peroi:

Tanah mengandungi beberapa bahagian bahan galian seperti batu, pasir, tanah liat, reputan hijau (bahan organik) dan lain-lain.  Tanah peroi juga dikenali dengan panggilan tanah atas (top soil) yang boleh didapati kurang daripada 0.5 meter dari permukaan tanah.  Tanah atas mempunyai berbagai warna dan tekstur bergantung kepada kuantiti kandungan bahan utama yang terdapat dalam tanah itu, contohnya tanah atas yang mengandungi banyak bahan organik mempunyai warna lebih gelap.  Dalam kerja-kerja menyediakan tanah campuran, bahagian tanah peroi dijadikan panduan sukatan untuk bahan-bahan lain seperti pasir dan bahan organik.  Tanah peroi terbahagi kepada 3 jenis:-

1.    Tanah peroi berpasir
2.    Tanah peroi sederhana
3.    Tanah peroi liat

Tanah peroi berpasir mempunyai kandungan pasir yang tinggi, tekstur terbuka, mudah kehilangan kandungan air (mudah kering), daya penyerapan air rendah dan mengandungi 5-10% lempung.
Tanah peroi sederhana paling sesuai digunakan kerana teksturnya gembur dan peroi.  Tahap penyerapan air yang tinggi dan mengandungi 20-40% lempung.

Tanah peroi liat mengandungi lempung yang padu dan padat, melekat dan mempunyai daya penyerapan air yang tinggi.  Tanah peroi liat mengandungi lebih 40% lempung.  Tanah peroi yang sesuai mempunyai keasidan tanah sebanyak pH 5.5 - 6.5 dan sesuai untuk kebanyakan pokok hiasan tropika.

Bahan organik

Pelbagai bahan organik sesuai digunakan untuk membaiki tekstur tanah.  Kebanyakan bahan organik terhasil daripada reputan hijau atau sisa buangan pertanian.  Tanah memerlukan bahan organik untuk menggalakkan kegiatan mikro-organisma yang berfaedah, memperbaiki tekstur tanah bagi penyerapan air yang sempurna dan membantu pengudaraan dalam tanah.

Jenis-jenis bahan organik

1.    Najis Haiwan

 Bahan organik yang terhasil daripada najis haiwan seperti tahi lembu, tahi ayam, tahi kambing perlulah direputkan dan disejukkan terlebih dahulu sebelum boleh digunakan untuk mengelakkan kelecuran.  Kandungan unsur-unsur utama yang terdapat dalam baja najis haiwan adalah rendah iaitu 2-3% N, 3% P dan 5% K (Nitrogen, Fosforus, Kalium).  Pada masa ini baja najis haiwan sukar diperolehi dan harganya juga agak mahal.  Terdapat beberapa kelemahan dalam penggunaan baja najis haiwan seperti baunya yang kurang menyenangkan dan menjadi agen kepada penyebaran benih rumput. 

2.    Tanah Gambut

Tanah gambut terjadi hasil daripada mendapan bahan organik melalui proses pereputan sisa buangan pertanian seperti jerami padi, rumput dan daun kering serta lain-lain.  Proses mendapatan ini berlaku dalam jangka masa bertahun-tahun lamanya.  Daya penyerapan air bagi tanah gambut adalah tinggi. 
3.    Baja Kompos

Baja kompos diperbuat daripada bahan sisa buangan pertanian seperti daun, ranting, pelepah dan lain-lain yang direputkan untuk dijadikan baja.  Baja kompos mempunyai daya penyerapan air yang sederhana dan mengandungi unsur-unsur utama yang rendah.  Kebaikan menggunakan baja kompos ialah tidak ada pembaziran dalam amalan pertanian kerana sisa buangan pertanian diguna semula.  Penggunaan baja kompos juga dapat membaiki tekstur tanah. 

4.    Habuk Papan

Elakkan daripada menggunakan habuk papan yang tercemar oleh minyak mesin kayu dan sebaiknya direputkan terlebih dahulu. 

5.    Sekam Padi

 Sekam padi yang belum atau sudah dibakar boleh digunakan. 

6.    'Cocofibre'

Gabus-gabus kecil yang dihasilkan daripada sabut kelapa ini telah banyak digunakan dalam campuran tanah.  Bahan ini mempunyai daya penyerapan air yang tinggi.

Pasir
 Pasir membantu pengudaraan dan pengaliran air kerana ia membuka dan meronggakan tekstur tanah.  Beberapa jenis pasir boleh didapati seperti pasir sungai, pasir lombong dan pasir laut.  Untuk kegunaan dalam campuran tanah sebaik-baiknya gunakan pasir yang mengandungi sekurang-kurangnya 90% kumin pasir dan saiznya lebih kurang 5 mm.  Pasir sungai adalah pasir yang terbaik untuk digunakan dalam campuran tanah kerana kasar dan bersih.

Baja Organik
 Pada kebiasaannya kandungan unsur-unsur yang terdapat dalam tanah campuran adalah rendah dan tidak seimbang untuk pokok pada peringkat awal pertumbuhan.  Untuk mendapatkan unsur-unsur tambahan dalam campuran tanah, baja organik yang mengandungi unsur NPK 8:8:8 atau 10:10:10 perlulah digunakan.  Baja organik yang dihasilkan daripada bahan-bahan seperti serbuk tulang, darah kering, serbuk udang, guano dan sebagainya banyak djual dalam pasaran.

Kapur
 GML atau kapur pertanian biasanya digunakan untuk menentukan keasidan tanah ke tahap yang sesuai bagi kegiatan pertanian yang hendak dilaksanakan, contohnya untuk penanaman pokok tahap keasi dan tanah yang diperlukan ialah pH 5.5 - 6.5.  Selain menentukan keasidan tanah kapur juga berupaya membasmi telur dan larva serangga perosak serta beberapa jenis kulat yang terdapat dalam tanah.  Dalam kerja-kerja menyediakan campuran tanah bagi tanaman berpasu kapur perlu dicampurkan bagi tujuan yang dinyatakan tadi.

Jenis campuran tanah

 Ada 2 jenis campuran tanah asas yang digunakan untuk pokok-pokok tanaman hiasan, campuran tanah pasu dan campuran tanah tapak semaian.

1.    Campuran tanah pasu
 Campuran tanah ini sesuai bagi semua pokok hiasan:- 3 bahagian tanah peroi- 2 bahagian bahan organik (tanah gambur)- 1 bahagian pasir sungai
Baja asas:- 3.5-4.0 kg. baja organik- 3.5-4.0 kg. kapur pertanian bagi menghasilkan 1 meter padu tanah campuran

2.    Campuran tanah semaian-
2 bahagian tanah peroi sederhana- 1 bahagian bahan organik (tanah gambut)- 1 bahagian pasir sungai
Baja asas:- 2.5-3.0 kg baja fosfat- 2.0-2.5 kg kapur pertanian bagi menghasilkan 1 meter padu tanah campuran.

Cara-cara membuat campuran
 Terlebih dahulu sediakan peralatan asas yang diperlukan bagi membuat campuran tanah, seperti berikut:-

- baldi besar (10 liter)  untuk menyukat bahan-bahan utama.- Dacing untuk sukatan baja asas.- Pencakar dan cangkul untuk memecah dan meratakan tanah- 'Slope' untuk mencampur dan membalikkan bahan-bahan utama.- Kereta sorong untuk mengangkut bahan- Ayak (saiz 1 sm) untuk mengayak bahan utama

Cara membuat

1.    Longgokkan 3 baldi penuh tanah peroi yang sudah diayak di atas lantai dan ratakan setebal 3-4 inci.
2.    Longgokkan 2 baldi penuh bahan organik (tanah gambut) yang sudah diayak di atas lapisan tanah peroi dan ratakan.
3.    Longgokkan 1 baldi penuh pasir sungai yang sudah diayak di atas lapisan bahan organik dan ratakan.
4.    Sukat baja asas dan kapur sebanyak yang ditentukan dengan menggunakan dacing dan taburkan di atas lapisan pasir sungai.
5.    Dengan menggunakan slope balik-balikkan lapisan bahan-bahan tersebut dari satu tempat (A) ke satu tempat (B) dan ulangkan 3-4 kali sehingga bahan-bahan dalam campuran benar-benar bercampur dengan rata.
Untuk menguji campuran tanah yang dihasilkan menepati kriteria tanah campuran yang betul, ambil segenggam tanah campuran tersebut dan kepal.  Sekiranya tanah campuran tidak pecah setelah genggaman dibuka dan pecah berderai setelah dijatuhkan di atas lantai, ini menunjukkan campuran tanah yang dihasilkan adalah betul.  Campuran tanah yang disediakan ini boleh terus digunakan atau disimpan selama 3-4 bulan.  Sekiranya campuran tanah ini hendak disimpan elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari dan hujan.

Faedah daripada campuran tanah yang betul

Campuran tanah yang digunakan di dalam pasu atau bekas-bekas lain mestilah disediakan dengan sempurna dan teratur supaya pokok mendapat segala faedah daripadanya seperti:-
1.    Peredaran udara dalam tanah yang baik membolehkan akar bernafas dengan sempurna.
2.    Membolehkan akar lebih aktif untuk menyerap air dan unsur-unsur yang ada di dalam tanah.
3.    Penyerapan air yang lebih tinggi.
4.    Mengandungi unsur-unsur yang mencukupi dan seimbang untuk keperluan pokok.
5.    Bebas daripada penyakit dan serangga.