HIDROPONIK TAKUNG BAGI SAYUR-SAYUR, BUAH DAN BUNGA
Penanaman secara hidroponik ialah satu kaedah menanam tanpa menggunakan tanah. Selain daripada sayur jenis berdaun, sayur jenis buah dan pokok bunga boleh ditanam secara hidroponik. Kaedah ini memerlukan larutan zat makanan di dalam takungan yang berisi air. Kesuburan pokok dan hasil yang berkualiti bergantung kepada baja yang digunakan, benih yang elok dan juga cahaya matahari yang cukup.
Kaedah penyediaan dan peralatan yang diperlukan:
Takung Hidroponik
Takung hidroponik hendaklah tidak telus cahaya, tidak serap panas dan tidak berkarat. Disyorkan supaya digunakan takung plastik berukuran 15 cm tinggi, 52 cm panjang dan 26 cm lebar yang dilengkapkan dengan penutup polistirena yang berlubang serta bakul-bakul semaian.
Penutup Takung/ Penutup Polisterin
Penutup takung diperlukan untuk melindungi larutan baja dari terkena sinaran matahari serta kemasukan air hujan yang akan mencairkan larutan baja. Bahan yang sesuai sebagai penutup adalah kertas tebal, plastik atau polistirena. Penutup hendaklah mempunyai lubang-lubang yang dibuat khas untuk meletakkan bakul semaian. Jarak lubang adalah bergantung kepada jenis tanaman.
Bakul Semaian
Plastik kecil yang berlubang diletak pada lubang-lubang di penutup takung. Benang atau perca-perca kain dari jenis yang boleh menyerap air diletakkan di dalam bakul semaian sebagai media percambahan biji benih. Juntaikan perca kain atau benang tersebut melalui lubang-lubang dinding bakul sumbu supaya dapat meresap larutan air baja.
Penyediaan Larutan Baja Hidroponik
Gunakan baja hidroponik komersil dengan kadar yang disyorkan pada label. Baja ini boleh dibeli dari kedai-kedai pembekal baja swasta tertentu. Air paip atau air tangki yang digunakan untuk penyediaan larutan baja hendaklah yang telah lama tersimpan kerana ianya bebas dari klorin. Air hujan juga boleh digunakan.
Menyemai
Semai sebanyak 2-4 biji benih ke dalam satu bakul semaian. Tinggalkan kepada 1-2 pokok sebakul seminggu selepas benih bercambah. Elakkan benih dari terendam dalam larutan.
Penjagaan
Letakkan alat hidroponik di bahagian patio atau balkoni rumah yang terlindung dari hujan dan mendapat sinaran matahari sekurang-kurangnya separuh hari. Pastikan takung terlindung dari air hujan. Kawalan serangga / penyakit boleh dibuat dengan membuang bahagian yang diserang atau menangkap perosak dengan tangan. Jika perlu semburkan dengan racun perosak tanaman. Elakkan semburan racun kimia sekurang-kurangnya satu minggu sebelum memungut hasil.
Perhatian
Pastikan ada ruang udara pada pangkal pokok dan permukaan air untuk pernafasan akar. Gunakan media dal larutan yang baru untuk setiap penanaman. Basuh dengan sempurna takung, penutup dan bakul media selepas setiap penanaman.
Kaedah ini adalah salah satu cara tanaman yang paling senang, murah dan juga mudah dilaksanakan. Semua golongan masyarakat yang berminat boleh mencuba dan tidak memerlukan kawasan yang luas. Ia boleh dibuat sebagai hobi atau jika dibuat besar-besaran, sistem ini boleh memberi hasil yang lumayan kepada petani-petani dan juga suri rumah.
Sayur-sayuran yang ditanam dengan cara ini segar, bersih dan rasanya manis. Ia boleh juga dimakan segar kerana kurang penggunaan racun. Selain dari sayur-sayuran kaedah ini juga boleh digunakan untuk menanam bunga-bungaan. Bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang dihasilkan didapati berkualiti dan bermutu tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan