Khamis, 27 Oktober 2016

USAHAWAN SERAI PAHA GAJAH


USAHAWAN SERAI PAHA GAJAH



Jika selama ini anda menanam serai hanya untuk kegunaan sendiri, usaha dilakukan Kamarudin Atan, 36, boleh dijadikan contoh. Sejak dua tahun lalu, beliau menanam serai paha gajah di tanah seluas empat hektar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Titi Gantong, Bota, Perak.


Dalam tempoh lima hingga tujuh bulan, serai jenis berkenaan yang batangnya besar dan umbi tegap mampu mengeluarkan hasil antara enam hingga tujuh tan di kawasan seluas 0.4 hektar.

“Biasanya saya jual dengan harga borong RM3 sekilogram, tapi ia tidak menentu kerana mengikut pasaran semasa,” katanya yang memasarkan serainya di Manjung dan Ipoh.


Serai sesuai ditanam di kawasan beriklim tropika di tanah gembur dan lom berpasir serta memerlukan sistem saliran yang baik untuk subur.


Sebatang serai paha gajah saja sudah memadai dalam masakan. Faktor ‘kegemukannya’ menjadi tarikan pembeli dan mendapat permintaan tinggi.


Kamarudin yang juga peserta TKPM Titi Gantong mengambil peluang menanam serai itu sejak dua tahun lalu selain tanaman lain seperti jagung, nanas, pisang, labu, terung dan beberapa sayuran lain.


Katanya, pada mulanya beliau menjadikan tanaman serai sebagai pendapatan sampingan dan hanya ditanam di tepi parit.

Namun, apabila mendapat permintaan tinggi, dia mula meluaskan kawasan tanaman itu kepada satu hektar sebagai permulaan.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, keistimewaan serai paha gajah ialah saiz yang besar berbanding serai jenis lain dan hasil pengeluaran juga lebih cepat.


“Hanya 10 hingga 12 batang serai paha gajah sudah mencapai berat sekilogram berbanding serai kampung yang memerlukan kira-kira 30 batang sekilogram,” katanya.

Katanya, proses menanam dan penjagaan juga tidak rumit tetapi perlu menjaga rumput bagi memastikan pengeluaran hasil yang banyak.

“Serai mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan saya menggunakan sistem tanamam berperingkat. Seawal lima bulan serai sudah boleh dijual dan usia paling cantik ialah dalam tempoh lima hingga tujuh bulan. Bau wangi serai akan berkurangan apabila menginjak usia lapan bulan.


“Serai paha gajah juga mudah dibersihkan dan dalam sehari seorang mampu membersihkan 100 kilogram,” katanya yang dibantu dua pekerja di ladang serai.


Kamarudin berkata, dia meminati pertanian sejak dari kecil berikutan ibu bapanya juga bekerja sebagai petani dan bersedia berkongsi ilmu dengan sesiapa yang berminat.


“Saya mahu ubah tanggapan segelintir masyarakat yang masih menganggap pertanian tidak mampu menjana pendapatan atau hanya cukup makan kerana keadaan itu pernah berlaku kepada saya.


“Jadi, saya berbesar hati untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa yang berminat menanam serai atau tanaman lain,” katanya.