Isnin, 27 April 2015

Durian Musang King RM140 sekilogram

Ismail Sabri Yaakob melihat sayur taugeh organik selepas merasmikan


PUTRAJAYA 6 April - Keenakan durian jenis Musang King bukan sahaja menambat hati rakyat negara ini, malah turut menjadi ‘kegilaan’ rakyat Singapura walaupun harganya mencecah RM140 sekilogram di republik tersebut.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permintaan yang tinggi di Singapura menyebabkan rakyatnya meminta Malaysia mengeksport Musang King ke negara itu.


Katanya, hasrat tersebut disuarakan semasa beliau melawat Agrobazaar kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Singapura, namun pihak kementerian bimbang sekiranya tidak mampu memenuhi permintaan itu.



“Permintaan terhadap durian Musang King amat tinggi terutama dari Singapura. Dalam lawatan itu saya dapati bekalan durian ini tidak mencukupi walaupun harganya mencecah RM140 sekilogram.


“Pada tahun lalu hasil eksport buah-buahan tempatan termasuk durian Musang King mencecah RM60 juta,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pelancaran Logo MyOrganic, di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.



Menurut Ismail Sabri, kementerian sedang mencari alternatif lain untuk memenuhi permintaan eksport durian yang tinggi terma­suk menjenamakan semula durian kampung sebagai durian organik untuk dipasarkan ke luar negara.



“Kalau kita eksport durian kampung ke Singapura saya rasa susah sebab namanya tak komersial, tapi kalau kita gunakan nama durian organik semestinya diterima kerana keunikan namanya.



“Kita akan jumpa pemilik ladang durian kampung untuk pastikan mereka mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh kementerian bagi kaedah penanaman dan penja­gaan durian secara organik,” katanya.


Sementara itu, mengulas menge­nai pelancaran logo MyOrganic, Ismail Sabri berkata, kementerian akan membangunkan lebih banyak aktiviti ternakan dan akuakultur yang diusahakan secara organik di negara ini ekoran permintaan terhadapnya semakin meningkat di samping memberi pulangan yang tinggi kepada usahawan.



Seiring hasrat tersebut katanya, kementerian telah membuat penjenamaan semula Skim Organik Malaysia (SOM) kepada MyOrganic yang merangkumi subsektor tanaman, ternakan dan akuakultur bagi menggalakkan penerimaan pengguna terhadap produk organik.



“Ketika ini, terdapat sebanyak 146 ladang tanaman termasuk buah-buahan, sayur-sayuran dan padi yang diusahakan secara organik di seluruh negara dan tumpuan kini sedang giat dibuat bagi bidang ternakan dan akuakultur yang semakin mendapat permintaan.



“Permintaan terlalu tinggi bukan sahaja dalam negara malah untuk tujuan eksport. Sekarang pun kita masih belum cukup dalam segi penawaran dan atas sebab itu kita mahu galakkan lagi bidang tanaman, ternakan dan akuakultur diusahakan secara organik,” katanya.




Beliau menambah, selain bagus untuk kesihatan, langkah itu juga dapat memberi pendapatan tambahan kepada usahawan.




“Sebagai contoh, mereka yang terlibat dengan penanaman padi juga boleh membela ikan untuk dijual dan selepas musim menuai mereka juga boleh menanam ja­gung,” katanya.