Isnin, 27 April 2015

BUNGA KERTAS - bouganvilla



Dalam keresahan menghadapi musim cuaca panas ketika ini rupanya anugerah yang ditunggu oleh tumbuh-tumbuhan di sekeliling kita. Ketika ini kebanyakan tumbuh-tumbuhan akan mengeluarkan bunga, ini termasuk tumbuhan hiasan yang galak mengeluarkan bunga yang antaranya pokok bunga kertas, pokok tecoma (sakura Malaysia), Cassia spp. dan banyak lagi. Kali ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai pokok bunga kertas, apa benar ianya lambang perpecahan rumah tangga?


Pokok bunga kertas atau nama Inggerisnya bougainvila merupakan pokok hiasan tropika yang mengeluarkan bunga yang pelbagai warna dan berbunga sepanjang tahun. Dikategori dalam famili Nyctaginaceae yang nama botaninya Bougainvillea spp., tumbuhan ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan.


Di Malaysia, pokok bunga kertas banyak ditanam di taman-taman, laman rumah serta dijadikan landskap disepanjang jalan-jalan perbandaran dan juga lebuhraya. Walaupun pokok kertas ini mengeluarkan bunga sepanjang tahun, namun musim kemuncak pengeluaran bunga adalah di musim kering dan panas.



Ketika musim ini kebanyakan spesis, daun pokok bunga kertas akan gugur dan meninggalkan bunga-bunga pada dahan yang kelihatan sungguh menarik. Pokok bunga kertas mempunyai kelopak bunga yang nipis seperti kertas, mungkin sebab itu ia dinamakan bunga kertas yang nama inggerisnya dinamakan sempena nama seorang komander laut Perancis iaitu Louis Antoine de Bougainville.



Pokok bunga kertas mengandungi 28 genus dan 250 spesis, namun begitu hanya tiga spesis utama yang tedapat di negara ini iaitu B. glabra, B. spectabilis dan B. mrs butt. Walaubagaimana pun banyak kacukan telah dilakukan daripada tiga spesies asal ini untuk menghasilkan pokok bunga kertas yang mempunyai pelbagai warna kelopak, baik selapis mahupun banyak lapis.



Bagi ramai peminat pokok bunga kertas, pilihan kacukan yang menjadikan pokok bunga kertas dengan pelbagai dahan dengan bunga yang berlainan warna merupakan suatu trend masa kini. Dan pokok ini juga menjadi pilihan ramai kerana warnanya yang pelbagai dan cantik serta pokoknya tahan lama hingga boleh menjangkau melebihi 20 tahun. Selain dari itu pokok bunga kertas juga dijadikan pilihan dalam menghasilkan pokok bonsai.




Bougainvillea dibiakkan menggunakan keratan batang. Keratan batang induk kebiasaannya bersaiz lilitan sekurang-kurangnya sebesar pensel dan panjangnya diantara 20 hingga 30 cm. Pokok bunga kertas mudah dijaga, pokoknya lasak dan jarang diserang oleh serangga perosak. Untuk menggalakkan ia berbunga hanya pamerkan pada cahaya matahari dan penggunaan baja yang sesuai.



Mengikut mitos dan feng shui masyarakat cina yang pernah saya baca, pokok bunga kertas dianggap lambang perpecahan rumah tangga. Mereka juga menganggap tanaman ini tidak sesuai ditanam berhampiran rumah kerana sifat tanaman ini yang berduri tajam dan bagi sesetengah spesis boleh menjalar dan memanjat tanaman lain atau rumah hingga boleh merosakkan bumbung rumah.



Namun bagi anda yang berminat dengan pokok bunga kertas ini, lupakan saja mitos dan feng shui ini, asalkan saja tanaman ini tidak ditanam terlalu hampir dengan rumah dan diurus dengan sempurna serta rajin membuat pangkasan terhadap dahan-dahan yang terjulur melepasi had tertentu, maka tentu saja pokok bunga kertas akan menjadi tanaman hiasan yang akan mengindahkan halaman rumah anda.






info dari : facebook jabatan pertanian malaysia