Selasa, 12 April 2016

KUMBANG MERAH PALMA (Rhynchophorus ferrugineus) | Mengancam Tanaman Kelapa & Sawit Negara!

KUMBANG MERAH PALMA (Rhynchophorus ferrugineus) – Mengancam Tanaman Kelapa & Sawit Negara!





KUMBANG MERAH PALMA (Rhynchophorus ferrugineus) 



Kumbang Merah Palma atau lebih dikenali sebagai Red Palm Weevil (RPW) adalah sejenis perosak tanaman yang serius dan berbahaya. Ia tergolong dalam order Coleoptera dan family Curculionidae. Kini, ia didapati menyerang tanaman kelapa dan berpotensi merebak serta boleh mengancam tanaman sawit yang menyumbang sebanyak RM50 billion per tahun kepada ekonomi negara. Perosak ini juga dijumpai pada tanaman salak, sagu, kurma dan pokok-pokok hiasan jenis palma yang juga merupakan perumah kepada perosak ini.


Kumbang Merah Palma membiak di dalam pokok seperti di pelepah, batang dan pucuk. Kumbang betina akan bertelur pada umbut pokok, pangkal pelepah atau pada luka-luka yang terdapat pada pokok. Ia menghasilkan lebih kurang 250 telur pada satu-satu masa. Larva yang menetas akan mengorek ke dalam batang sambil memakan tisu pokok. Lama-kelamaan pokok akan mati. Serangan akan cepat merebak ke pokok-pokok lain yang berdekatan dalam keadaan populasi perosak yang tinggi.







Jika anda terjumpa Kumbang ini, segeralah melaporkannya ke Pejabat Pertanian Daerah yang berdekatan anda agar populasinya dapat dikawal dan mengurangkan kerosakan tanaman palma dan sekaligus dapat menyelamatkan industri kelapa negara kita.



SUMBER : JABATAN PERTANIAN MALAYSIA

Oleh : Yunif Ibrahim Ahmad
Foto : Mohd Fadzlee Borhan