Selasa, 12 April 2016

Pokok lada hitam | Piper nigrum





Pokok lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum dari keluarga Piperaceae boleh hidup subur di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembab. Lazimnya lada hitam ditanam untuk pengeluaran buahnya yang dikeringkan untuk dijadikan sebagai rempah dan perisa masakan.

Lada hitam ditanam secara meluas di Selatan India dan dikatakan berasal dari negara tersebut. Pada masa ini, Vietnam merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar lada hitam dunia.






Di Malaysia, Sarawak memang diketahui sebagai pengeluar lada hitam, selain itu, Johor juga diketahui sebagai pengeluar lada hitam di Semenanjung. Tetapi tahukah anda selain kedua negeri ini, Kedah telah mula menanam lada hitam.


Cuaca yang lembab dan panas di daerah Sik, Kedah di dapati sesuai untuk penanaman lada hitam. Dengan kajian serta teknologi penanaman yang baik, penanaman lada hitam di daerah ini boleh dikembangkan bagi menambah pendapatan kepada pekebun kecil serta penduduk setempat.

Pokok lada hitam dibiakkan menggunakan keratan atau melalui biji benih, namun jarang dipraktikan. Penanaman pokok lada hitam memerlukan tiang sokongan kerana sistem akar adventitius yang terbentuk pada bahagian buku keratan batang akan membantu pucuk melekat pada tiang sokongan.

Buah dari pokok lada hitam yang disebut sebagi beri, merupakan rempah yang penting dalam sejarah tamadun manusia. Rempah lada hitam ini yang asalnya berwarna hijau dan berkeadaan lembut di peringkat awal pembentukan.

Ia bertukar ke warna hijau tua dan menjadi keras apabila matang. Kulit luar (eksokarpa) berwarna kuning dan merah cerah dan menjadi lembut apabila masak. Setiap beri lada mengandungi biji tunggal yang diselaputi isi buah (mesokarpa). Lada hitam terdiri daripada keseluruhan beri yang telah dikeringkan manakala lada putih adalah biji lada.

Rasa pedas buah lada adalah disebabkan oleh kehadiran alkaloid piperine, chavisine dan piperettine manakala minyak pati menghasilkan aroma lada. Kedua-dua sebatian tersebut membentuk oleoresin yang dapat diperolehi melalui proses ekstraksi pelarut. Kepedasan lada juga dipengaruhi oleh varieti dan persekitaran penanaman lada.

Selain kegunaannya sebagai rempah dan perisa dalam makanan, lada hitam juga berkhasiat dan banyak manfaat bagi kesihatan. Diantaranya lada hitam boleh membantu mencegah kanser, membantu mencegah gangguan pencernaan, cirit birit, sembelit dan perut kembung. Ianya juga boleh membantu mengatasi hidung tersumbat dan meredakan batuk.

The Journal of Food and Chemical Toxicology melaporkan bahawa piperin dalam lada hitam dapat meningkatkan fungsi kognitif otak, serta membantu mengalahkan kemurungan. Didapati juga bahawa lada hitam yang dimakan secara teratur akan membantu fungsi otak dengan lebih baik. Menambah lada hitam pada makanan sehari-hari, atau dimakan sebagai rempah pada salad atau dalam bentuk apapun boleh membantu membuat lebih pintar dan tak mudah kemurungan.

Oleh itu, adalah suatu keuntungan bagi kesihatan anda, jika anda menyukai aroma lada hitam yang kuat pada makanan anda.

Rujukan Wikipedia Bebas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan