------------------------------------------
Pahang pengeluar utama durian
------------------------------------------
Keenakan durian tidak dapat disangkal lagi kerana menjadi kegemaran segenap lapisan masyarakat negara ini.
Durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus Murr tergolong dalam keluarga Bombaceae dan terdapat di seluruh negara.
Tidak hairanlah banyak nama tempat di Malaysia berasaskan durian seperti Kampung Durian Sebatang di Raub, Pahang, Kampung Durian Tipus di Negeri Sembilan, Kampung Durian Hijau di Jerantut dan Simpang Durian, Durian Chondong di Johor.
Ia secara tidak langsung membuktikan wujud taburan durian di Malaysia kerana tiada kata nama lain digunakan selain untuk pokok dan buah durian.
Khazanah ini dikenali di setiap peringkat dan lapisan masyarakat. Secara tidak langsung membuka mata dunia mengenai keunikannya.
Anugerah ini juga memecahkan tembok prestij buah-buahan tempatan di peringkat global dan mula digemari penduduk dunia.
Kini, hampir 200 varieti durian didaftarkan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Antaranya, varieti komersial seperti D24, D99 (Kop Kecil), D145 (Durian Hijau/Beserah), D168 (ioi/Hajah Hasmah), D160 (Tekka/Buluh Bawah), D197 (Raja Kunyit/Musang King) dan bermacam-macam lagi.
Mengikut statistik Tanaman Buah-Buahan Jabatan Pertanian 2015, sebanyak 70,607.8 hektar tanaman durian diusahakan dengan keluasan berhasil 51,048.6 hektar di seluruh Malaysia. Pahang sahaja memiliki 15,423.9 hektar dengan keluasan berhasil 10,940.8 hektar.
Sementara itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyenaraikan Pahang sebagai pengeluar utama durian dengan jumlah keseluruhan pengeluaran kira-kira 30,030 tan dalam tempoh enam bulan tahun ini bermula Jun hingga November depan.
Varieti durian seperti Musang King, IOI dan D24 berada di kedudukan teratas permintaan daripada penggemar tempatan dan luar negara. Tidak ketinggalan durian kampung yang tetap masih disukai kerana faktor harga dan rasanya.
Perak menduduki tempat kedua dengan 8,405 tan diikuti Johor 6,821 tan.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Razak Abdul Majid berkata, di Pahang pokok durian jenis Musang King, ioi dan D24 banyak ditanam di beberapa daerah seperti Bentong, Jerantut, Raub, Lipis dan Maran yang diusahakan secara kecil-kecilan dan komersial.
Katanya, harga yang mahal iaitu antara RM35 hingga RM85 sekilogram tidak menjadi penghalang kepada penggemar raja buah itu merasai keenakan Musang King yang isinya berwarna kuning keemasan dengan bentuk yang menarik.
Menurutnya, pasaran durian klon bukan saja tertumpu kepada masyarakat tempatan, malah turut dieksport ke China dengan kaedah sejuk beku. Usaha itu dilakukan FAMA Jerantut dengan kerjasama beberapa syarikat swasta.
“Untuk memberi pulangan lumayan dan menguntungkan, saya meminta pekebun durian di negara ini beralih mengusahakan tanaman durian jenis Musang King selain beberapa klon lain seperti ioi dan D24.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan modal agak besar, dalam tempoh empat hingga enam tahun, mereka pasti mampu meraih pendapatan lumayan berlipat kali ganda setiap kali musim durian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Durian dan Kenduri FAMA Pahang di Taman Tropika, Raub, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan